SEPANG: Kementerian Pengangkutan (MOT), Khazanah Nasional Bhd (Khazanah) dan Malaysia Aviation Group (MAG) diminta memberi tumpuan kepada pengurusan Malaysia Airlines Berhad (MAB) dengan mengukuhkan tadbir urus dan mengelakkan sebarang ketirisan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, langkah tersebut penting untuk memartabatkan semula syarikat penerbangan nasional itu ke peringkat antarabangsa, selain melahirkan tenaga kerja yang berkemahiran tinggi.

Jelas Anwar lagi, pengurusan syarikat penerbangan yang baik juga akan memberi manfaat kepada kakitangan melalui gaji yang setimpal dengan perkhidmatan mereka.

"Saya harap kerjasama ini antara MAG, Khazanah, dan MOT akan diteruskan kerana hanya kesediaan untuk bekerja dalam satu pasukan, dengan prinsip ketelusan dan elak pembaziran, kita boleh selamatkan negara serta memberi habuan, pulangan dan upah yang lebih baik kepada staf.

"Jangan kita remehkan soal ini kerana mereka juga ada keluarga dan berhak diberikan perhatian dan pertimbangan.

"Ini kerana keputusan kita, sangat cermat, berhemah serta urus dengan baik dan telus, akan menjamin masa depan yang lebih baik kepada mereka (kakitangan).

"Saya mengikuti secara dekat sejak 90-an (sebagai Menteri Kewangan ketika itu) dan ketika saya jadi Ketua Pembangkang, tidak melepaskan perhatian saya, bagaimana perubahan pimpinan beralih.

"Ada yang mengambil alih dalam keadaan sudah bobrok. Keutamaan dia kadang-kadang gedung yang indah, pejabat yang luar biasa dan hebat, pameran serta lukisan terkenal di dunia, (walaupun) dalam keadaan syarikat itu hampir muflis. Ini tidak masuk akal," kata Perdana Menteri, di sini, pada Jumaat.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Kampus dan Pecah Tanah Pusat Simulasi Penerbangan Malaysia Airlines Bhd Academy (MABA) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Hadir sama Menteri Pengangkutan, Anthony Loke dan Pengerusi Kumpulan MAG, Tan Sri Wan Zulkiflee Wan Ariffin.

Berucap lanjut, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata MOT dan pengurusan MAB ketika ini perlu mengambil iktibar daripada pengalaman lalu, atas sikap tamak haloba segelintir kumpulan, ia akhirnya memberi kesan kepada negara dan kakitangan.

Dalam masa sama, beliau berharap MAG melalui MABA mampu menyediakan tenaga-tenaga baharu yang berkemahiran dari sudut transformasi digital dan inovasi, sekali gus melonjakkan keupayaan MAS.

"Bukan sahaja memberi latihan yang lebih canggih dan memenuhi semua keperluan, tetapi menjadi pusat untuk melatih, seterusnya syarikat penerbangan luar negara yang akan berikan kepercayaan kepada keupayaan kita.

"Saya lihat tadi beberapa penjelasan faktor keselamatan dari segi layanan hospitaliti. Kalau dulu saya pergi ke mana (di seluruh) dunia... orang bicara tentang MAS dan hospitaliti yang bertaraf kelas pertama," kata Anwar lagi.

MABA ialah Organisasi Latihan yang Diluluskan (ATO) dan disahkan oleh Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM), dengan menawarkan sekurang-kurangnya 180 kursus daripada latihan wajib penerbangan hingga perkhidmatan penerbangan.

Sementara itu, Wan Zulkiflee dalam ucapan berkata pusat simulasi yang bakal dibina dan bertaraf dunia itu, akan mempunyai sejumlah enam ruang dan dilengkapi dengan simulator pesawat yang dikendalikan oleh MAG.

Ujar beliau, kampus berkenaan akan dilengkapi dengan kemudahan-kemudahan lain termasuk kolam renang dengan 'waves maker' sendiri untuk latihan keselamatan dan kecemasan serta kemudahan latihan latihan perkhidmatan yang lain.

"Kampus in juga mampu mengendalikan kursus-kursus hospitaliti yang serba lengkap dan dijangka meningkatkan kedudukan MABA sebagai pusat kecemerlangan penerbangan dan hospitaliti di rantau ini," katanya.